Sukan tersebut kelihatan agak membahayakan kerana menggunakan parang tajam. Namun belum pernah berlaku sebarang kemalangan atau kecederaan kepada peserta mahupun penonton.

Ini kerana aspek keselamatan amat diutamakan pihak penganjur sepanjang tempoh pertandi­ngan berlangsung untuk memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Pihak yang bertanggungjawab membawa dan memperkenalkan sukan tersebut di negara ini pada 2015 adalah Persatuan Kraf Bilah Malaysia.

Pengerusinya, Mohd. Nazin Amin, 40, berkata, walaupun ba­haru sukan tersebut sudah mampu mengumpul ribuan pengikut di seluruh negara dalam tempoh yang singkat.

“Jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, kita agak ketinggalan kerana mereka mempunyai persatuan serta dana selain mempunyai kalendar tetap penganjuran pertandingan setiap tahun.

“Kami bukan sahaja tidak mempunyai persatuan induk dan persatuan di peringkat negeri malah terpaksa bergerak sendiri mencari dana untuk menganjurkan pertandingan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kejohanan Blade Sport Terbuka Johor 2017 yang disertai lebih 30 peserta dari seluruh negara di Dataran Labis di sini baru-baru ini.

Walaupun bergerak dalam kea­daan serba berkurangan, namun dia bangga kerana mampu menghantar dua wakil negara ke pertan­dingan Kejohanan Blade Sport Terbuka Antarabangsa di Bangkok, Thailand pada awal Ogos lalu.

Beliau yakin sukan ini akan terus berkembang dengan lebih meluas dan menjadi antara sukan yang digemari ramai di negara ini dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Sementara itu, Setiausa­ha­nya, Mansur Birat, 45, berkata, per­tan­dingan dijalankan mengikut masa iaitu peserta yang menyelesaikan halangan dengan masa paling pantas dan sempurna dikira sebagai pemenang.

“Terdapat 12 halangan yang disediakan di mana peserta perlu menetak hingga putus halangan se­perti kayu beluti, penyedut minuman, tali sabut dan nilon, buluh, kertas, bola golf, bola tenis, getah paip gas dan lima botol air mineral yang berisi air,” katanya.

Katanya, semua objek mesti ditetak hingga putus dengan satu hayunan sahaja kecuali kayu beluti dan getah paip gas.

Menurutnya, saiz keseluruhan parang yang dibenarkan untuk digunakan tidak melebihi 15 inci panjang iaitu berukuran lima inci pemegang serta 10 inci panjang dan dua inci lebar mata bilah.

“Setiap halangan yang gagal disempurnakan akan dikenakan tambahan masa penalti seba­nyak 10 saat setiap satu. Setiap kali pertandingan berjalan terdapat 11 petugas terdiri daripada lapan pembantu dan tiga panel juri.

“Bagi tujuan keselamatan di sekeliling kawasan gelanggang akan dipasang jaring sebagai pemisah dan hanya petugas, juri dan peserta dibenarkan berada dalam gelanggang sewaktu pertandingan dijalankan,” katanya.