Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz berkata, statistik hasil tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2015 mendapati, prevalen perokok berkenaan mencatat sebanyak 40.1 peratus pada tahun itu.

Menurutnya, jumlah perokok wanita juga meningkat daripada 1.1 peratus pada 2011 kepada 1.4 peratus dalam tempoh sama, selain bilangan pelajar sekolah yang dikenal pasti mula merokok turut meningkat.

“Malah, bilangan perokok lelaki dewasa walaupun menurun kepada 45.1 peratus pada 2015 tetapi ia hanya sekitar 1.5 peratus berbanding 46.6 peratus perokok pada 2011.

“Jika kita tidak bertindak sekarang, epidemik ini akan membunuh lebih lapan juta orang setiap tahun menjelang 2030 termasuk penduduk di negara ini dan lebih menyedihkan 80 peratus kematian ini melibatkan masyarakat awam di negara berpendapatan rendah dan sederhana,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia peringkat negeri dan Program Nafas Baharu Ramadan di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah Kesihatan (Awam) negeri, Dr. Shaharom Nor Azian Che Mat Din.

Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia disambut pada 31 Mei setiap tahun yang memberi penekanan kepada masalah kesihatan dan risiko-risiko lain berkaitan penggunaan tembakau sehingga menyumbang kepada 12 peratus kematian akibat penyakit jantung.

Ujar Dr. Selahuddeen, kese­daran terhadap epidemik yang digelar wabak tembakau itu perlu dipertingkatkan kerana gejala itu ibarat wabak berjangkit yang menular tanpa mengira lapisan umur.

“Perkara yang lebih membimbangkan, 10 peratus daripada kematian enam juta orang pada setiap tahun akibat tembakau ini melibatkan pengguna asap rokok terpakai iaitu mereka yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap yang dihembus orang lain,” tegasnya.