Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yusry Abu Samah berkata, selain menampilkan penyampai selebriti baharu iaitu Mya Ruslee, ste­sen radio itu juga sudah mengatur siri jelajah Pentas Best FM.

“Hala tuju radio Best FM pada tahun ini, kita lebih nak mendekatkan dengan pende­n­gar dan cuba naikkan stesen dari segi rating.

“Kita lebih menjurus kepada kawasan Selatan dan Te­ngah. Dari segi peringkat umur pendengar, kita ada sasaran tersendiri iaitu dari 25 hingga 45 tahun,” katanya dalam sidang akhbar Best FM 2019 dan Seminar Best Radio Ads di sini baru-baru ini.

Yusry berkata, lagu-lagu diputarkan juga dalam kalangan yang popular dan menjadi ke­ge­maran dari tahun 90-an hingga terkini.

Beliau berkata, Best FM menyifatkan 2019 sebagai tahun yang begitu mencabar buat stesen radio tersebut, namun beberapa perancangan dan strategi sudah diaturkan dalam menaikkan jumlah pendengar termasuk bersaing dengan lebih produktif dalam industri pe­nyia­ran radio.

Katanya, Best FM kini sema­kin menampakkan kejayaannya dan mendapat tempat di hati pendengar, sekali gus menjadi stesen radio nombor satu paling popular di selatan tanah air.

“Malah kami juga di kedudukan nombor dua tertinggi di Malaysia dari segi jumlah masa mendengar paling lama di seluruh Malaysia dalam kalangan radio berbahasa Melayu,” katanya

Selain itu, katanya, untuk tahun ini, Best FM juga menampilkan penyampai radio selebriti baharu iaitu Maya Matahari atau kini dikenali Mya Ruslee yang dijangka mampu memberi suntikan segar kepada stesen tersebut.