Pertemuan sempena Hari Raya Aidilfitri itu diadakan di Homestay Classic Al-Idrus di sini dalam suasana meriah dengan kehadiran bekas-bekas pelajar dikenali Ge­nerasi 63 atau G63.

Menurut Timbalan Pengerusi G63, Azman Kamar, pihaknya berjaya mengumpulkan seramai 120 bekas pelajar yang memasuki tingkatan satu pada 1976 melalui kemudahan aplikasi WhatsApp dan juga Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Katanya, perjumpaan itu merupakan kali ketiga diadakan selepas kali pertama pada 2015 di Bio Café Pulai Sebatang serta pelancaran penubuhan Alumni G63 di Rumah Citra Parit Pinang, Benut, dekat sini pada tahun yang sama.

“Kami gembira dapat bertemu dalam bulan yang mulia terutama rakan-rakan yang baharu menjadi ahli G63 setelah berpisah sama ada selepas peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) mahupun Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, ada juga kalangan pelajar terputus hubungan apabila menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Sri Perhentian (SSP) bagi mengambil aliran Sains atau ke Sekolah Menengah Vokasional (SMV) selepas bersama-sama di SMK Ayer Baloi.

“Dalam kesibukan dan keka­ng­an masa kami dapat berkumpul merapatkan silaturahim dan bertanya perkembangan masing-masing. Ramai telah mendapat pangkat datuk dan nenek,” katanya.

Jelas Azman, penubuhan kumpulan WhatsApp G63 bermula pada 2015 yang kini bertambah keahlian serta menjadi medium mereka menyampaikan maklumat termasuk undangan majlis perkahwinan dan sebagainya.

Katanya, majlis perjumpaan dimulakan dengan bacaan doa yang ditujukan khas kepada rakan-rakan yang telah kembali ke rahmatulah, persembahan mar­haban serta penyampaian cede­ramata kepada semua peserta yang hadir.