Jamian Ismail, 76, yang memulakan karier sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Sengat pada 1968 dan bersara pada 1996 tidak dapat me­nyembunyikan perasaan terharu dan gembira apabila berpeluang bersua kembali beberapa rakan yang pernah bertugas bersama-samanya.

Mereka adalah 10 bekas guru yang pernah mengajar di SK Lok Heng dan SK Bandar Ea­s­ter, dekat sini dan ada di antara mereka sudah 34 tahun tidak pernah berjumpa.

Bapa kepada lapan anak itu pernah juga mengajar di SK Telok Sengat, SK Lok Heng dan SK Bandar Easter, Jamian pernah mengajar di SK Simpang Waha, SK Seri Setia Jaya, Tanjung Sedili dan SK Air Tawar 1.

Menurut anak kedua Jamian, Shaharia Jamian, 45, majlis pertemuan itu sebenarnya diadakan atas sebab bapanya yang benar-benar berhajat bertemu rakan setugas sejak akhir-akhir ini.

Dia teruja apabila dapat merealisasikan impian bapanya dengan mengadakan majlis pertemuan bersama-sama bekas guru-guru tersebut yang masih hidup dan sanggup datang ke rumahnya.

“Memandangkan keadaan ke­sihatan ayah yang membataskan pergerakannya, saya merancang lebih dua bulan sejak Ramadan melalui aplikasi WhatsApp. Berkat kesabaran serta soko­ngan daripada rakan-rakan setugas ayah akhirnya pertemuan santai tersebut menjadi realiti.

“Ada yang datang dari Nege­ri Sembilan dan Melaka selain Muar dan Kota Tinggi. Sesungguhnya kewujudan aplikasi media sosial ini merealisasikan impian ayah untuk bertemu semula selepas 21 tahun terpisah,” katanya ditemui di kediaman bapanya Kampung Belading, Teluk Sengat di sini.

Shaharia merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada semua guru-guru veteran yang hadir itu kerana bukan mudah untuk berkumpul semula kerana semuanya sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen keluarga masing-masing.