MOHAMED KHALED NORDIN

Tegas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, tugas serta tanggungjawab besar itu adalah amanah yang harus disahut dan dipikul oleh semua pihak dalam pasukan Johor.

“Dengan terbitnya fajar baharu Tahun 2018, bermulalah juga langkah nekad kita untuk menggandakan usaha bagi memba­ngunkan 10 tahun akan datang sebagai Dekad Baharu Johor.

“Sebagai sebuah negeri yang dipimpin oleh prestasi dan pencapaian, 2018 harus menjadi satu lagi tahun yang kita isi dengan pelbagai kejayaan dan penambahbaikan. Segenap sudut dan aspek pentadbiran serta pembangunan negeri Johor harus dihalakan ke arah meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan keharmonian sosial,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2018, di sini hari ini.

Menurutnya, kemajuan serta lonjakan Johor untuk menjadi sebuah negeri terbaik harus hadir sebagai aspirasi semua pihak secara bersama dan menjadi azam baharu, bukannya iltizam sesetengah pihak sahaja.

Dekad Baharu Johor adalah aspirasi dan nuansa yang menghimpunkan segala yang terbaik untuk negeri dan masyarakat Johor, bukan satu slogan politik, tetapi adalah panggilan dan tugas patriotik untuk Johor, negeri yang didiami dan angkat sebagai tanah tumpah darah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua rakyat yang telah memberikan sumbangan sepanjang 2017.

“Sesungguhnya, segala sumbangan serta dedikasi yang besar dan ikhlas tersebut adalah sangat bermakna kepada negeri ini.

“Sempena hadirnya tahun baharu 2018 ini, saya harap kita semua akan dapat terus mempamerkan komitmen serta ke­sungguhan yang jauh lebih baik. Dan marilah kita bersama-sama mendoakan agar cita-cita membangunkan Dekad Baharu Johor ini bukan sahaja berjalan lancar dan berjaya, malah dipermudahkan Yang Maha Esa,” katanya.