Walaupun jaraknya kira-kira 35 kilometer dari pusat bandar raya Johor Bahru, namun pastinya kunjungan ke destinasi itu berbaloi kerana keunikan yang ditawarkan di situ.

Sarang Buaya atau turut dikenali sebagai Santuari Buaya Tembaga itu dibangunkan pada tahun 2008 di kawasan hutan paya bakau dengan keluasan 3.2 hektar.

Menariknya, pusat tersebut menempatkan antara spesies buaya terbesar dan ganas, iaitu buaya tembaga, salah satu daripada 23 spesies reptilia yang terdapat dalam dunia.

Lokasi ini bukan sahaja berfungsi sebagai produk ekopelancongan, malah menjadi pusat konservasi, penyelidikan dan pembelajaran bagi golongan yang meminati sang bedal.

Santuari ini dibangunkan dengan kos RM2.9 juta dan merupakan satu-satunya santuari buaya yang terdapat di negara ini dan dibuka kepada orang awam pada 2009.

Sebaik sahaja melangkah ma­suk ke kawasan berkenaan, pasti mata pengunjung akan terpaku melihat banyaknya buaya yang ditempatkan di santuari tersebut.

Terdapat kira-kira 100 buaya di situ dan pengunjung boleh melihat aksi-aksi reptilia berkenaan yang biasanya hanya dilihat di dalam televisyen.

Pengunjung juga dapat melihat cara-cara reptilia itu diberi makan, selain berpeluang mengabadikan gambar kenangan bersama-sama anak buaya.

Pelbagai maklumat dan fakta berkenaan sang bedal juga boleh diperoleh di santuari itu, antaranya latar belakang serta spesies yang terdapat dalam dunia.

Pastinya kunjungan anda sekeluarga di santuari itu merupakan satu pengalaman yang baik khususnya kepada anak-anak supaya mereka tidak hanya terkongkong di hadapan televisyen ataupun ‘ligat’ dengan gajet pintar di rumah.

Bayaran masuk ke santuari yang dibuka mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari itu adalah RM8 bagi pengunjung dewasa, manakala RM6 untuk kanak-kanak.