Namun, situasi itu merupakan perjumpaan biasa pada hujung minggu dalam kalangan peminat dan pengemar topi Mastor yang bukan sahaja dari Simpang Renggam, malah ada yang sanggup datang dari Kulai, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru.

Pemilik galeri Mastor, [email protected] Wakiran, 60, yang sebelum ini dikenali sebagai individu berjaya mengubah terompah untuk kegunaan dalam rumah menjadi aksesori di luar dengan seni reka dan bentuk yang menarik, nyata turut diberikan bakat dan kemahiran dalam dunia pembuatan topi.

Bermula dengan hobi pada tahun 2002, kini beliau tidak menoleh dalam perniagaan ber­kenaan dan jenama Mastor terus gah dalam kalangan peminat topi tersebut.

Giman mengakui sejak 2010, penghasilan topi Mastor yang menggunakan dua rekaan, iaitu ‘Style of Belanda’ dan ‘Style of Johor’ kini telah dijual sebanyak 3,000 buah kepada rakan-rakan dan kenalan di seluruh negara.

Dengan ‘tagline’ Gaya Tropika bagi melambangkan negara Asia, reka bentuk ‘Style Of Johor’ adalah mengikut rekaan songkok, manakala ‘Style of Belanda’ adalah ilham daripada pemakaian topi pegawai British di Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Menurutnya, gaya pemakaian topi mempunyai kepelbagaian di seluruh dunia seperti cara Amerika, Panama, Jamaica, British dan Australia.

Beliau menggunakan kulit lembu bagi memberikan keyakinan kepada pengguna kerana banyak topi yang dihasilkan di luar negara turut dihasilkan daripada kulit binatang seperti kanggaru dan unta.

“Pengalaman terbeli topi daripada kulit khinzir membuat saya merasa dukacita dan mengambil keputusan untuk tidak menggunakannya walaupun dibeli de­ngan harga yang mahal ketika itu,” kata kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau yang juga pengasas Mastor Craft & Collection berkata, dengan menggunakan kulit lembu, beliau tidak lagi merasa waswas untuk menjualnya kepada rakan-rakan yang mempunyai pelbagai kerjaya termasuk pesara kerajaan.

“Mereka (pembeli) juga gembira dengan kualiti kulit yang digunakan ditambah dengan reka bentuk yang membuatkan mereka tertarik untuk membelinya bukan satu, malah sehingga 10 atau lebih.

“Harga bagi sebuah topi antara RM300 hingga RM600 adalah se­timpal dengan kualiti kulit yang digunakan seperti kulit lembu Australia dan lembu tempatan,” katanya sambil memberitahu penghasilan topi berkenaan turut dibantu oleh seorang pekerja mahir yang mampu membuat 15 buah topi sehari.

Ayah kepada 13 cahaya mata ini memberitahu, selain menjualnya kepada rakan-rakan yang datang ke bengkel, beliau juga mempunyai butik di Taman Jaya, Skudai, Johor Bahru.

Menurutnya, pemakaian topi tersebut semakin meluas dalam pelbagai aktiviti harian seperti untuk bermain golf, meman­cing, pergi ke ladang atau kebun, me­nunggang kuda serta turut dijadikan sebagai cenderamata.

Mengenai penjagaan, beliau menasihatkan pemiliknya supaya mengelakkan daripada meletaknya di dalam kereta kerana pancaran dan bahang matahari berlebihan boleh menyebabkan tekstur rekaannya berubah dan boleh menggunakan losyen bayi agar kekal kemas.

Beliau berharap budaya memakai topi terus kekal dalam kalangan masyarakat termasuk golongan wanita dan pihaknya juga menghasilkan rekaan yang sesuai untuk mereka.