Nyata, pusat tersebut yang merupakan satu-satunya kolam air panas semula jadi yang terdapat di negeri ini sesuai dijadikan lokasi riadah untuk seisi keluar­ga.

Air kolam utama yang terdapat di situ juga dipercayai mengandungi mineral yang tinggi serta suhu mencecah 42 darjah celcius dikatakan berkesan untuk merawat pelbagai penyakit kulit serta lenguh-lenguh sendi dengan cara berendam di dalamnya.

Namun usah risau kerana suhu air di empat kolam yang disediakan untuk pengujung berendam tidak sepanas kolam utama dan mempunyai kedalaman yang berbeza-beza mengikut keperluan pengunjung.

Selain empat kolam yang disediakan, pelbagai kemudahan lain turut disediakan di kawasan tersebut seperti dua bangunan bilik persalinan, surau, pondok pengawal, ruang tempat letak kenderaan dan bangunan kitar semula.

Selain itu, terdapat juga gazebo, taman permainan kanak-kanak dan gimnasium di kawasan terbuka, tasik buatan dan jakuzi.

Pihak Majlis Daerah Labis bertanggungjawab menguruskan ka­wasan tersebut turut menawarkan aktiviti perkhema­han kepada pengunjung atau sebarang program seperti hari keluarga.

Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, pusat rekreasi ini dibuka setiap hari termasuk cuti umum, iaitu mulai pukul 3 hingga 7 petang pada Isnin hingga Jumaat, manakala pada Sabtu, Ahad dan cuti umum bermula 9 pagi hingga 10 malam.

"Bayaran masuk yang dikenakan bagi wargangara hanya RM2 bagi dewasa, RM1 untuk kanak-kanak, manakala bagi pengunjung asing RM6 untuk dewasa dan RM4 bagi kanak-kanak.

Menurutnya, bayaran untuk menggunakan jakuzi adalah RM30 sejam bagi warganegara dan RM50 sejam untuk warga asing.

Pusat rekreasi tersebut mene­rima kira-kira 100 pengunjung pada hari-hari biasa, namun jumlah itu boleh mencecah 500 orang pada Sabtu dan Ahad serta cuti umum.

Selari dengan usaha yang sedang dijalankan untuk menjadikan kawasan Labis yang kaya dengan pelbagai lokasi menarik seperti Taman Negara Selai, Hutan Lipur Sungai Bantang di Bekok serta Hutan Lipur Taka Melor sebagai destinasi pelancongan, kewujudan pusat rekreasi ini diharap dapat menarik minat lebih ramai pengunjung luar.