Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, hasil kajian Seaco mampu memberi impak positif kepada perkembangan tahap kesihatan penduduk di daerah ini.

“Selama ini mereka memanjangkan hasil kajian kepada pihak atasan mereka sahaja sedangkan stakeholders mereka adalah penduduk setempat yang terlibat dengan kajian dilakukan.

“Apabila Seaco dapat membentangkan dapatan kajian mereka kepada masyarakat seperti wabak denggi di sesebuah lokaliti, ia diharap dapat menimbulkan lagi kesedaran kepada komuniti setempat tentang apa yang perlu dilakukan,” katanya selepas me­lakukan lawatan bersama-sama penghulu dan ketua-ketua kampung di kawasan Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Kemelah di Pejabat Seaco, di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kemelah berkata, perkongsian maklumat antara Seaco dan penduduk setempat juga boleh mempercepatkan proses tindakan dan pencegahan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Segamat selain membantu tahap perkembangan kesihatan di sini.

“Saya juga dimaklumkan Seaco dilancarkan pada 2011 dengan menggabungkan kajian dan kerjasama antara komuniti di Segamat serta universiti dari Malaysia, Australia dan Eropah.

“Tujuan utama Seaco ini adalah untuk meningkatkan kefahaman terhadap faktor kesihatan serta kesejahteraan di dalam komuniti dan faktor yang akan berubah mengikut peredaran semasa,” katanya.

Menurutnya, projek yang dijalankan Seaco itu hanya terdapat di daerah ini dan akan berlanjutan untuk satu jangka masa lama serta melibatkan lima mukim di daerah ini iaitu Bekok, Chaah, Gemereh, Jabi dan Sungai Segamat.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai yang terlibat dengan kajian Seaco itu agar dapat memberi kerjasama sama ada melalui pengambilan sampel atau soal selidik agar dapatan kajian yang diperoleh lebih tepat.

“Pengumpul data kesihatan Seaco juga mempunyai penampilan dan identiti mereka tersendiri iaitu dengan memakai jaket yang mempunyai lambang Seaco selain memakai tag identiti yang dikeluarkan khas kepada mereka.

“Saya turut mencadangkan kepada Seaco agar kawasan kajian mereka dapat diluaskan di daerah ini pada masa akan datang dengan melibatkan mukim lain,” katanya.