Menteri Besar Johor, Datuk Se­ri Mohamed Khaled Nordin ber­kata, perkara pertama yang harus diberi penekanan adalah berusaha untuk tidak menjadi tua sebelum waktunya dengan cara me­raikan kehidupan ketika muda.

“Sebagai golongan muda, la­luilah kehidupan remaja anda de­ngan sepenuh jiwa dan terokailah perkara yang ingin anda terokai kerana usia belia adalah fasa perdana bagi setiap orang.

“Paling utama jangan sesekali rasa takut untuk mengambil risiko dan menempuh kegagalan kerana mereka yang tidak pernah mengambil risiko, tidak pernah gagal dan tidak pernah melakukan apa-apa dalam hidup adalah mereka yang rugi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Muafakat Belia Johor (HMBJ) 2017 di Bandar Utama di sini semalam.

Yang turut hadir ialah Setia­usaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap; Pe­ngarah Jabatan Belia dan Sukan nege­ri, Abdul Ghani Abdul Rahman dan Presiden Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ), Manndzri Nasib.

Menurutnya, perkara kedua adalah dengan berharap belia dan beliawanis yang di negeri ini menjadi masa depan Johor dan Malaysia dengan sebenar-benarnya.

“Saya tidak pernah terlalu merisaukan tentang infrastruktur di Johor kerana kita sudah mempunyai banyak infrastruktur yang baik malah sedang ditambah dan dinaiktarafkan menjadi berkelas dunia dari semasa ke semasa.

“Kedudukan Johor yang terletak di sebuah selat tersibuk dunia pula akan terus menjadikan negeri ini berpotensi besar tetapi yang lebih penting masa depan Johor bergantung pada wajah, karakter dan sumbangan golo­ngan mudanya,” katanya.

Menurutnya, perkara ketiga pu­la menyentuh masa depan Jo­hor yang harus menjadi tanggungjawab dan golongan muda pula mesti tampil menjadi sebahagian daripada segala penyelesaian terhadap masalah Johor dan Malaysia.

Beliau berharap golongan tersebut ambil peduli dan prihatin dengan kemajuan Johor malah mesti mengambil tahu apa juga kesusutan dan kekurangannya.