Justeru, Yayasan Pencegahan Jenayah Kebangsaan (MCPF) Daerah Pontian turut bekerjasama dengan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SPDRM) dan Pasaraya Econsave turut menganjurkan program Back To School secara bersama-sama.

Program tersebut turut mendapat sokongan daripada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian serta Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Pengerusi MCPF Daerah Pon­tian, Datuk Zamrud Misdi berkata, kerjasama seperti itu bukan sahaja dapat mewujudkan hubungan baik, malah membantu antara satu sama lain khususnya kepada keluarga yang memerlukan.

Menurutnya, pemberian sumbangan dalam bentuk baucar bagi membeli kelengkapan persekolahan seperti baju, kasut dan beg sekolah diharap dapat me­ngurangkan beban kewangan ibu bapa.

Seramai 30 pelajar di sekitar daerah ini menerima sumbangan bagi membolehkan mereka membeli-belah di pasar raya tersebut.

“MCPF gembira dan teruja dapat bersama-sama NGO lain terlibat dengan kerja-kerja kemasyarakatan bukan sahaja da­lam aspek menjaga keselamatan, malah menjalankan tanggungjawab sosial,” katanya di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Zakaria Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LPNM, Mohd. Khairul Zamri M. Salleh; Ketua Sukarelawan SPDRM. Inspektor Sih Huay Heng dan Pengurus Operasi Pasaraya Enconsave, Mas Imran Adam.

Zamrud berkata, MCPF sentiasa memberikan penekanan terhadap aspek keselamatan bukan sahaja di rumah, malah mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati kerana penjenayah sering mengambil kesempatan atas ke­cuaian mangsa mereka.

“Jenayah berkaitan ragut, pe­cah rumah, kecurian kenderaan memerlukan kerjasama semua pihak untuk menanganinya bagi membantu pihak berkuasa,” katanya.