Malah, inisiatif terbaharu yang mendapat kerjasama daripada Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) negeri ini diyakini mampu menarik lebih ramai pengunjung sama ada pelancong domestik mahupun asing melawat negeri ini.

Perkhidmatan 12 beca dengan kadar bayaran RM15 itu bermula dari Hotel Amari, di sini dan akan melalui beberapa batang jalan termasuk Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gereja serta Persia­ran Muafakat Bangsa Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan, Perdagangan dan Ke­penggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, lebih unik perkhidmatan beca tersebut di­kendalikan golongan muda terdiri daripada pelbagai kaum bagi menambah kerancakan industri pelancongan di negeri ini, khususnya bandar raya ini.

“Saya yakin perkhidmatan ini akan membawa manfaat bagi banyak pihak kerana menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan,” katanya dalam majlis prapelancaran perkhidmatan itu di Hotel Amari, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Toursim Johor yang baharu, Abdul Malik Ismail; bekas Pengarah Tourism Johor, Mohd. Shukri Masbah yang kini dilantik sebagai Pegawai Daerah Pontian dan Presiden MITA, Uzaidi Udanis.

Siew Kiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berkata, inisia­tif tersebut juga selari dengan hasrat kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memperkasakan bandar raya ini sebagai destinasi pelancongan warisan dan bertemakan keluar­ga.

“Berdasarkan Laporan Pe­nyia­satan Pelancongan Domestik 2016, Johor berjaya menarik se­ramai 7.4 juta pelancong domestik dan menjadikan negeri ini dapat menarik paling ramai pelancong tempatan.

“Ini membuktikan Johor sebagai negeri pilihan utama rak­yat Malaysia untuk melancong dalam negara. Justeru, kita perlu sentiasa berusaha meningkatkan daya saing sektor pelancongan ini,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan beca berkenaan umpama city tour pada waktu malam yang lebih santai dan mesra bagi memberi pengalaman berbeza kepada pelancong,” katanya.

Beliau memberitahu, pengunjung boleh menyaksikan pelbagai tempat menarik di sepanjang laluan 2.2 kilometer tersebut seperti rumah ibadat, muzium, pasar karat serta Sungai Segget.