Mohamad Awang, 68, berkata, kedua-dua buah pinggang anak lelakinya, Rosdi, 30, disahkan tidak dapat berfungsi menyebabkan anak­nya terpaksa menjalani rawatan dialisis sejak penghujung 2013.

“Pada awalnya, kami menerima bantuan kewangan sebanyak RM8,000 daripada Baitulmal untuk urusan membuat tapak dialisis di tangan kanan Rosdi yang dilakukan di Hospital Pakar Johor (KPJ Johor) pada 2014.

“Namun, tapak dialisis yang dibuat itu tidak dapat bertahan lama dan rosak sehingga memaksa kami mengeluarkan kos sendiri sebanyak RM5,000 untuk membuat tapak baharu di tangan kirinya baru-baru ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bapa kepada enam anak itu kemudian berbincang dengan isteri­nya, Rubiah Samad, 67, untuk menjual kereta miliknya semata-mata untuk menampung kos pemasangan tapak dialisis anaknya.

Selepas mendapat wang hasil jualan kereta tersebut, dia kemudian menghantar anaknya kembali ke KPJ Johor untuk memasang tapak dialisis di tangan kirinya yang digunakan ketika ini.

“Sewaktu tapak dialisisnya rosak, saya dapat melihat sendiri kesengsaraan yang dialami Rosdi disebabkan air dalam badannya tidak dapat dikeluarkan dengan sempurna kerana sistem perkumuhannya sudah rosak.

“Sebagai bapa, saya tidak berkira untuk berkorban demi anak-anak saya dan setiap bulan saya memperuntukkan kira-kira RM500 untuk Rosdi menjalani rawatan dialisisnya di sebuah pusat hemodia­lisis di Bukit Siput,” katanya.

Sementara itu, Rosdi berkata, beberapa hari sebelum disahkan oleh doktor bahawa kedua-dua buah pinggangnya rosak dan mengecut, dia mengalami demam panas yang teruk sehingga muntah-muntah.

Dia kini terpaksa menjalani rawa­tan dialisis tiga kali seminggu di sebuah pusat hemodialisis di Bukit Siput di sini dan kos rawatannya pula ditanggung sepenuhnya oleh pihak Baitulmal.

Melihat demamnya yang semakin teruk, ibu bapanya membawa dia ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk menerima rawatan sebelum ditahan di wad selama sebulan sebelum dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar.

“Di HPSF saya ditahan selama empat bulan dan pada awalnya, leher kanan saya ditebuk bagi membolehkan saya menjalani rawatan dialisis sebelum leher kiri saya pula ditebuk untuk tujuan yang sama.

“Kemudian, saya dihantar pula ke Hospital Selayang bagi memasang tapak dialisis di dada saya dan baharu semalam tiub dialisis di dada saya dibuang,” katanya.

Mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Rosdi, 0112141000020499 atau menghubunginya di talian 0177845060.