Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bantuan itu melibatkan kerja menaik taraf dapur, bilik air dan atap yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kadangkala kita lihat ada rumah di kawasan kampung tradisional yang perumahannya tidak cukup, namun ada tanah lebih untuk dibina rumah. Jadi kita bantu dari segi naik taraf.

“Ini merupakan program setiap tahun Parlimen Pengerang. Tam­bahan pula kawasan kita, 70 peratus adalah penduduk Felda, manakala 30 peratus kampung tradisional yang tidak mendapat manfaat seperti bantuan yang dikecapi daripada agensi Felda,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas me­lakukan lawatan turun padang ke beberapa kampung, baru-baru ini.

Beliau berkata, kebanyakan kediaman di kampung tradisional merupakan rumah turun-temurun daripada keluarga dan perlu untuk dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada penduduk.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, bantuan tersebut diperoleh daripada peruntukan pada 2016 dan berharap tahun ini jumlahnya lebih banyak supaya bilangan pe­nerima lebih ramai menikmatinya.

“Kerajaan BN sentiasa meletakkan keutamaan terhadap ke­sejahteraan rakyat. Selain Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan untuk menaik taraf rumah yang usang akan kita teruskan dari tahun ke tahun.

“Di kampung tradisi ini memang mereka ada geran tanah tetapi untuk menaik taraf dengan jumlah RM10,000 dalam ekonomi sekarang, sekurang-kurangnya kita telah me­ringankan beban mereka,” katanya.