PONTIAN 15 Okt. – Masalah disiplin dalam kalangan pelajar memerlukan penglibatan semua pihak bagi bersama-sama mencari jalan penyelesaian termasuk mengaktifkan Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) di sekolah.
Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) cawangan Pontian, Datuk Zamrud Misdi berkata, masalah salah laku tersebut bukan perkara baharu, malah sering dihadapi oleh semua pihak sekolah.
Katanya, banyak faktor yang mendorong pelajar terlibat dalam masalah disiplin, antaranya pengaruh daripada rakan sebaya, kurang mengetahui atau tiada kesedaran mengenai kesalahan yang dilakukan.
Ujarnya, langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan bagi mengelakkan mereka terus terjebak dengan kegiatan lebih serius seterusnya mengundang kegelisahan ibu bapa, keluarga dan pihak sekolah.
“Saya menyarankan agar KPJ digerakkan dengan maklumat mengenai tingkah laku mahupun perubahan sikap seseorang pelajar boleh terdorong ke arah demikian,” katanya ketika melancarkan Blog Pencegahan Jenayah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mohd. Yunos Sulaiman di Pekan Nanas, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Dato' Mohd. Yunos Sulaiman, Mohamad Fadir Mohd. Salleh dan Ketua Balai Polis Pekan Nanas, Inspektor Wong Seh Tat.
Zamrud berkata, akitiviti KPJ perlu melibatkan penyertaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan dibantu oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pegawai Perhubungan Sekolah masing-masing.
“Kes-kes salah laku yang pada awalnya kecil boleh bertambah parah sekiranya tiada sebarang tindakan diambil yang akhirnya boleh menarik pelajar-pelajar lain,” katanya.