Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, keprihatinan orang ramai mengenai aspek penjagaan kebersihan mampu mewujudkan persekitaran yang sihat bagi menjamin kehidupan yang lebih berkualiti.

Beliau berkata, persekitaran yang bersih dan selamat penting bagi memastikan penduduk bebas daripada penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan aktiviti harian mereka.

Menurutnya, Program Gerak Mesra (PGM) yang dilaksanakan bukan hanya bertujuan menge­ratkan hubungan antara kerajaan dengan masyarakat, malah memberi penekanan terhadap aspek penjagaan kebersihan.

“Pada tahun ini, sebanyak 13 PGM dianjurkan oleh Majlis Daerah Pontian (MDP) di setiap zon yang melibatkan jabatan serta agensi kerajaan berkaitan,” kata­nya semasa menutup PGM Perdana Zon Benut C, D & E di Pusat Komuniti Bandar, Kampung Nelayan Benut, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Yang Dipertua MDP, Kamaluddin Jamal dan ahli-ahli majlis berkaitan.

Bagi memeriahkan program tersebut, turut diadakan pertan­dingan memasak, mewarna, memungut jentik-jentik terbanyak, memungut sampah terbanyak serta demonstrasi mencegah kebakaran.

Hasni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ne­geri berkata, ahli-ahli majlis yang menjadi penghubung antara PBT dengan masyarakat sentiasa bersedia membantu menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

Dalam pada itu, beliau membe­ritahu, MDP telah memperuntukkan banyak perbelanjaan bagi melaksanakan program seperti penanaman pokok, menaik taraf landskap, mengindah serta menceria kawasan untuk keselesaan penduduk.