Noramirrudin A. Rahman, 43, berkata, kedua-dua mereka diminta tampil untuk menguruskan dokumen hak penjagaan penuh yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengelakkan sebarang tuntutan di kemudian hari.

Menurutnya, mereka perlu me­ngesan bapa Muhammad Noorhaqim yang dikenali sebagai Hairulhasnizam Md. Arif, 44, dan ibunya Noraini Soh Abdullah, 44, yang juga merupakan seorang mualaf.

“Ibunya telah menyerahkan kanak-kanak ini kepada saya dan isteri ketika Muhammad Noorhaqim berusia 7 bulan. Saya sempat berhubung dengan Nooraini selama setahun sebelum kami terputus hubungan dan dia gagal dijejaki sehingga kini.

“Bagaimanapun, ketika masih berhubung, saya ada dimaklumkan bahawa kedua-dua ibu bapa Noorhaqim telah bercerai,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Noramirrudin, alamat terakhir Hairulhasnizam adalah di Pontian manakala Nooraini di Skudai.

“Hak penjagaan penuh ini adalah penting untuk kami melengkapkan urusan persekolahannya memandangkan Muhammad Noorhaqim kini telah menginjak usia lima tahun.

“Justeru, saya memohon orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai ibu dan bapa Noorhaqim ini untuk menghubungi saya di talian 018-2365390,” ujarnya.