Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, pemberian bantuan kelengkapan sekolah pen­ting dalam usaha untuk membantu meringankan beban ibu bapa sekali gus memberi keceriaan kepada para pelajar yang akan memulakan persekolahan sesi 2019 Januari ini.

“Sejujurnya, pada hemat saya program sebegini perlu dijadikan sebuah anjakan yang pragmatik bagi memastikan kesejahteraan rakyat dijaga bersama-sama, sekali gus membolehkan segala usaha yang bakal dilaksana kerajaan akan lebih mencapai matlamat dan objektifnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercap dalam majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Kumpulan Sunway dan Persatuan Kebajikan Umar Mishary Insani (UMI) Kepada pelajar sekolah DUN Kempas di SMK Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini hari ini.

Dalam majlis berkenaan, seramai 33 pelajar mewakili 1,000 pelajar dari 11 buah sekolah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas menerima bantuan se­per­ti beg, alat tulis, pakaian sera­gam sekolah, botol air dan pelbagai barang keperluan sekolah.

Osman berkata, kerajaan nege­ri sentiasa membuka ruang kepada semua agensi kerajaan, swasta dan NGO, individu persendirian menghulurkan sumbangan pe­riba­di untuk mengimbangi lagi proses kemampanan dan kese­jahteraan sejagat secara holistik.

“Saya sedia maklum bahawa masih ada sesetengah masyarakat yang ingin membantu tanpa mengira berbezaan agama, bangsa dan warna kulit, ianya sudah cukup membuktikan bahawa Bangsa Johor adalah bangsa yang sangat prihatin dan berperikemanusiaan,” ujarnya.