Menurut pakar yang juga Pre­siden Persatuan Kanak-kanak Autisme Johor, Ruwinah Abdul Karim, ini berikutan penyakit itu tidak mempunyai ubat-ubatan spesifik dan hanya boleh dirawat menerusi terapi dan latihan.

“Ibu bapa digalakkan menyertai program atau seminar berkaitan autisme ini, lebih sesuai kepada mereka yang belum pasti mengenai keadaan anak mereka. Mereka juga boleh mengenal pasti apa ciri-ciri pengidap penyakit ini.

“Saya dah jelaskan banyak kali, autisme ini tiada ubat, mereka boleh dibimbing dan diajar dengan terapi sahaja. Jadi penglibatan di usia yang lebih awal amat lah digalakkan.

“Dengan terapi, mereka ini dapat belajar sesuatu dan secara tidak langsung meningkatkan kemajuan otak mereka. Tidak mustahil, mereka mempunyai kekuatan sekurang-kurangnya untuk uruskan diri bila dah besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Persidangan Autisme Johor, di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Mitec, di sini baru-baru ini.

Ruwinah berkata, antara faktor terdapat ibu bapa yang enggan membawa anak istimewa itu berjumpa pakar adalah ke­rana tidak menyedari simptom awal penyakit berkenaan.

“Ada ibu bapa tidak pasti dan hanya menyedarinya bila anak mereka dah besar sedikit. Kalau macam ini kebiasaannya akan ada susulan dibuat dan usia pesakit ketika itu pun tidak terlalu lewat.

“Cuma ada yang tidak men­dedahkan kepada orang ramai kerana malu itu tidak boleh, carilah pakar. Anak-anak ini memang memerlukan bantuan dan kita inilah yang perlu mainkan peranan,” katanya.