Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat mengingatakan penduduk yang tinggal di kawasan berpotensi dilanda banjir supaya berjaga-jaga dan bersedia.

“Kita gesa rakyat sentiasa peka dengan perkembangan banjir. Ketika ini banjir sudah pun berlaku Kota Tinggi dan Mersing,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Produk PPRN KPD Industri di Politeknik Sultan Ibrahim di sini sebentar tadi.

Ayub berkata, setakat pukul 7 petang ini, stesen meteorologi utama di negeri ini merekodkan jumlah hujan di Mersing sebanyak 41 mm berbanding 38 mm pada 4 petang tadi.

Sementara di Kluang katanya, sebanyak 2.6 mm berbanding 2.4 mm manakala Senai 12.8 mm berbanding 7.8 mm.

Sementara itu, beliau berkata, terkini seramai 352 mangsa melibatkan 95 keluarga di Mersing dan Kota Tinggi masih ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara.

Katanya, kawasan terjejas di Mersing melibatkan Taman Nakhoda, Air Papan, Kampung Tanjung Genting, Kampung Tenglu Besar, Kampung Kelantan, Kampung Air Tawar, Kampung Pengkalan, Kampung Air Merah dan Kampung Jemari.

Di Kota Tinggi ujarnya, kawasan terjejas masih melibatkan Kampung Bukit Raja dan Kampung Sungai Buntu. - UTUSAN ONLINE