Rata-ratanya yang masih ter­kejut dan sedih dengan kejadian itu berharap pihak berkaitan dapat membantu kembali berniaga apatah lagi perniagaan itu satu-satunya punca pendapatan mereka.

Peniaga anak patung, Nor Suhaida Md. Esa, 25, bertekad untuk kembali meneruskan perniagaan, namun akan mengambil sedikit masa kerana melibatkan modal yang besar.

“Memang saya sejak zaman sekolah lagi membantu ibu berniaga di sini hingga kini dan dapat membuka kedai sendiri. Kebakaran semalam memang amat mengejutkan kerana kami tak sempat untuk selamatkan apa-apa.

“Saya akan membina semula secara perlahan-lahan kerana memerlukan wang, namun harap sangat dapat berniaga di lokasi sama kerana kedudukannya yang strategik,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Terdahulu, lapan peniaga yang terjejas dalam kebakaran semalam menerima bantuan daripada Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsolbari Jamali yang juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam berjumlah RM1,000 seorang.

Seorang lagi mangsa, Irfan Zakwan Maulan, 19, berkata, kedai milik keluarganya itu mula diusahakan pada 1992 oleh arwah bapanya sebelum dite­ruskan oleh kakaknya kini.

“Kerugian yang dialami kira-kira RM15,000 kerana kami baru bawa ambik stok barang sebagai persiapan cuti sekolah dan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi,” katanya.

Seperti Nor Suhaida, Irfan Zakwan turut berharap pihak berkaitan dapat membantu me­reka berniaga semula dengan segera.

Sementara itu, Samsolbari berkata, UMNO bahagian akan be­­kerjasama dengan semua pi­hak bagi membantu peniaga ter­sebut kerana perniagaan mereka mewarnai landskap Ayer Hitam.

“Kita turut sama berduka cita dengan apa yang menimpa para peniaga, di sini dan mereka memang sepenuh masa berniaga menyara keluarga masing-ma­sing.

“Harap kerajaan akan memberi nafas baharu kepada mang­sa dengan menyediakan tempat yang lebih kondusif untuk meneruskan perniagaan,” katanya.