Hal ini kerana, kerajaan negeri melihat keperluan kedua-dua pekan berkenaan yang memiliki beberapa institusi pendidikan, boleh membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat se­per­ti yang terdapat di Oxford.

Menteri Besar, Datuk Seri Mo­ha­med Khaled Nordin berkata, fasiliti lengkap perlu diwujudkan di kawasan berkenaan bagi menampung keperluan dan permintaan semasa dengan membangunkan pelbagai infrastruktur supaya lebih maju selain sebagai produk pelancongan yang lebih kemas dan tersusun.

“Sebagai permulaan di Parit Ra­­ja, kerajaan negeri meluluskan RM1 juta untuk membina sebuah dataran yang boleh menjadi tempat riadah yang bukan sahaja da­pat digunakan oleh penduduk setempat tetapi pelajar dan orang luar yang berkunjung.

“Ia juga mampu menyumbang kepada faktor kecantikan dan menaik taraf pekan Parit Raja serta mampu meningkatkan pendapatan usahawan-usahawan tempatan,” katanya berucap dalam majlis penyampaian hak milik tanah di Kampung Felcra Sri Wangi, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Ab. Aziz Kaprawi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Puan Sri Azizah Zakaria dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.

Terdahulu, Mohamed Khaled melakukan lawatan kerja ke Parlimen Sri Gading termasuk meluluskan peruntukan lebih RM40 juta bagi membangunkan kawasan tersebut.

Jumlah itu meliputi kerja-kerja menyelenggara dan melebar jalan-jalan di sekitar Parlimen tersebut serta projek menaik taraf perparitan dan saliran di situ yang menelan kos lebih RM30 juta.

Mohamed Khaled berkata, bagi meningkatkan pendapatan usahawan tempatan, kerajaan negeri bersetuju membina kiosk niaga di Downtown Parit Raja dengan kos RM1 juta dan kira-kira RM2.2 juta lagi untuk mewujudkan pusat ole-ole di dua kawasan dalam Sri Gading.

Beliau menambah, pekan Parit Raja misalnya, amat penting kepada Johor kerana mencerminkan imej negeri itu memandang­kan kehadiran ramai orang luar yang menyambung pengajian di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan beberapa kolej kemahiran lain.

Sementara itu, seramai 208 keluarga dari Kampung Jasa Wangi dan Kampung Felcra Sri Wangi menerima hak milik tanah masing-masing selepas penantian hampir 30 tahun sejak mereka mendiami kawasan itu mulai 1963.