Pemiliknya, Mohd. Zalani Mohd. Top, 53, berkata, menu istimewa terbabit hanya dijual pada Ramadan bagi memenuhi permintaan dan mempelbagaikan menu selera berbuka puasa.

Menurutnya, Ayam Tempa­yan Kempas diperap semalaman menggunakan sembilan jenis rempah ratus sebelum dibakar dalam tempayan tanah yang ditempah khas, sudah mempunyai pelanggan tetap yang memang menantikan ketibaan Ramadan untuk menikmati keenakan menu istimewa ini.

Malah, dia tepaksa menambah lima buah tempayan lagi untuk memenuhi permintaan pe­ngunjung Bazar pada tahun ini.

Katanya, selain keenakan ayam yang mengeluarkan aroma menyelerakan, keistimewaan Ayam Tempayan Kempas terletak pada sos istimewa resipi keluarga yang tidak terdapat di mana-mana.

“Sudah hampir lima tahun kami berniaga ayam tempayan di Bazar Ramadan dan setiap tahun, jumlah pelanggan kami bertambah. Ada juga pelanggan tetap yang berulang kali membeli ayam tempayan kami setiap kali bulan puasa.

“Malah, pelanggan kami juga terdiri daripada warga Singapura yang datang ke sini semata-mata untuk menikmati Ayam Tempa­yan Kempas. Kebanyakan mereka mengakui keistimewaan Ayam Tempayan Kempas terletak pada sos istimewa kami selain isi ayam yang lembut dan beraroma lagi menyelerakan,” katanya.

Jelas Zailani, dia mampu men­jual sehingga 100 ekor ayam setiap hari tidak termasuk tempahan majlis berbuka puasa.

Menurut Zailani, sekalipun jual dalam kuantiti yang banyak, namun kualiti setiap ekor ayam yang dijual tetap dijaga.

“Ayam tempayan memang unik dan berbeza dengan ayam golek. Dimasak dalam tempa­yan yang ditempah khas dengan menggunakan arang dan ditutup agar ayam masak dengan sekata.

“Ia boleh dikategori sebagai manakanan sihat kerana tidak berminyak dan sesuai buat semua golongan kerana isi ayam­nya yang lembut,” katanya.

Jelasnya, ayam tempayan dan ayam golek tidak sama rasa­nya selain proses memasaknya mengambil masa yang lama serta sosnya juga berlainan menggunakan resipi sendiri.

Katanya, Ayam Tempayan Kempas dijual pada harga RM24 seekor dan RM13 bagi separuh.