KAMAL Ibrahim Wardi dan Hamilah Mohd. Amin memasukkan Ayam Engkong dalam bekas plastik untuk diedarkan kepada pelanggan di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, Pontian, Johor, baru-baru ini.

Ayam Engkong yang bermaksud muafakat kini menjadi satu perniagaan keluarga kepada Kamal Ibrahim Wardi, 51, dan isterinya, Hamilah Mohd. Amin, 50, dari Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi di sini.

Bermula secara kecil-kecil untuk memenuhi permintaan ahli keluarga dan rakan-rakan, pasangan itu kini tidak menang tangan de­ngan adanya permintaan menerusi media sosial.

“Dua jenis ayam digunakan untuk Ayam Engkong iaitu ayam kampung dan ayam tua yang dimasak dengan 20 bahan seperti ketumbar, jintan halus, jintan kasar, serai, halia dan santan.

“Harganya juga berbeza, bagi harga ayam tua termasuk penghantaran di Pontian RM25 seekor, manakala ayam kampung mengikut berat antara RM33 hingga RM37 termasuk penghantaran,” ujar Kamal ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, Ayam Engkong pernah menjadi sajian ketika program Kembara Mahkota Johor pada 2015 dan Sultan Johor memuji kelazatannya ketika singgah di Kampung Parit Panjang.

“Bertitik tolak dari situ juga orang ramai mula mengenali Ayam Engkong Kampung Parit Panjang yang dihasilkan kami sekeluarga serta menerima tempahan masyarakat luar,” ujarnya.

Katanya, tempahan paling ba­nyak diterima ialah 40 ekor bagi Hari Raya Aidiladha tahun lalu daripada keluarga selain tempahan satu hingga empat ekor daripada orang perseorangan.

Mengenai permintaan pada Ramadan kali ini, beliau berkata, kerja-kerja memproses dan memasak dilakukan pada waktu pagi dan dijual pada sebelah petang.