Namun, bagi masyarakat Jawa di negeri ini, ‘ayam engkong’ tetap popular, tetapi agak jarang ditemukan di kedai-kedai makan kerana kaedah memasaknya memerlukan kemahiran.

Bagi pengusaha ayam 'engkong', Kamal Ibrahim Wardi, 51, permintaan daripada saudara-mara dan rakan-rakan kini menjadi sumber pendapatan baharu bagi keluarganya sejak tiga tahun lalu.

Beroperasi di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, dia yang dibantu oleh isteri, Hamilah Mohd. Amin, 51, selaku ‘chef’ kini boleh berbangga kerana masakan ayam engkong telah diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

Menurutnya, proses pembuatan bermula dengan penye­diaan ‘bumbu’ atau bahan-bahan yang menggunakan kira-kira 20 bahan termasuk rempah ratus se­perti ketumbar, jintan halus, jintan kasar, serai, halia dan santan.

“Bumbu itu memberikan rasa dan keenakan yang menjadi tarikan kepada pelanggan yang pernah membeli ayam engkong kami. Alhamdulillah, ayam engkong kami turut mendapat tempahan oleh jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan majlis perkahwinan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Kamal Ibrahim yang juga pesara tentera berkata, engkong dalam bahasa jawa bermaksud ‘muafakat' dan sesuai dijadikan hidangan kepada pemimpin atau golongan yang lebih berumur di kampung-kampung.

Sementara itu, Hamilah memberitahu, dia memasak ayam engkong kampung dan ayam engkong tua berdasarkan permintaan pelanggan.

“Harganya juga berbeza, iaitu ayam engkong tua termasuk penghantaran di Pontian RM25 seekor, manakala ayam engkong kampung berdasarkan be­rat antara RM33 hingga RM37 termasuk penghantaran,” katanya.