Arlina Jamingon, 47, yang kini menyewa rumah di Kampung Parit Bugis, Kayu Ara Pasong, dekat sini bersyukur dan berterima kasih kepada PBTM cawangan berkenaan yang te­lah membantunya dan keluar­ga.

Suaminya, Idris Mohamed, 46, bekas anggota tentera di Kem Wardieburn, Kuala Lumpur meninggal dunia secara mengejut sewaktu bekerja di kebun selepas persaraan pada tahun 2015.

Menambah kedukaannya, selepas kematian suami tercinta, anaknya Mohamad Haziq, 20, yang sedang menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula meninggal dunia pada tahun lalu juga secara mengejut.

“Kini saya bekerja sebagai pembantu kedai makan di Gerai Rakyat 1Malaysia dengan pendapatan kira-kira RM900 sebulan yang digunakan bagi membayar sewa rumah dan perbelanjaan kami tiga beranak.

“Selain arwah Haziq, saya mempunyai dua lagi anak, iaitu Mohamad Daniel, 17, dan Siti Nur Nur Aisyah, 16,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran aktiviti gotong-royong membina rumahnya oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PBTM Cawangan Pontian, Mohd. Yusof Samingan; Penghulu Mukim Pontian, Norazman Misran dan Ketua Kampung Kawasan (7) Mukim Pontian, Zakaria Misnan.

Kerja-kerja pembinaan kediaman diketuai oleh Sarjan Zulkifle Mohd. Noor dari Batalion 8 Rajimen Askar Jurutera Diraja Kem Mahkota, Kluang bersama-sama 17 anggotanya yang dijang­ka mengambil masa selama dua bulan.

Arlina berkata, pembinaan rumah tersebut dibuat di atas tanah milik ibunya yang te­lah memberikan keizinan bagi memberikan keselesaan kepada mereka sekeluarga.

Sementara itu, Ahmad me­nyambut baik usaha PBTM cawangan Pontian dan ma­syarakat setempat yang prihatin dengan nasib keluarga Arlina yang amat memerlukan kediaman sendiri.

Beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM9,000 bagi membantu kos penyediaan kerja-kerja tapak rumah tersebut seperti yang dipohon oleh Zakaria.