Lebih menyedihkan, Isa Md. Diah, 74, yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) hanya mengharapkan ihsan penduduk kampung serta jiran terdekat untuk meneruskan kehidupannya.

“Saya terkejut apabila ramai orang yang datang hari ini (semalam) untuk membantu membersihkan kawasan rumah dan rasa terharu kerana belum pernah ada orang yang mahu datang ke rumah saya.

“Saya selesa duduk seorang diri dan hanya makan serta minum apa yang ada dan pernah mengikat perut kerana tidak ada wang untuk membeli makanan, tetapi saya tidak mahu menyusahkan sesiapa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dia juga disahkan oleh doktor menghadapi penyakit mental akibat tekanan perasaan selepas bercerai dengan isterinya pada tahun 1970-an dan mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan tersebut.

Isa kini hanya bergantung hidup dengan bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM) dan mengakui anak lelaki­nya sering datang menjenguknya apabila mempunyai kelapangan.

“Saya memang asal dari kampung ini dan pernah menjadi ke­tua kumpulan kompang kampung pada tahun 1966 dan saya tidak mahu berpindah keluar dari sini.

“Memang kawasan rumah ini agak semak kerana saya sudah tidak ada kudrat untuk membersihkannya dan keadaan di dalam rumah juga begitu dan mungkin tidak selesa untuk orang lain,” katanya.

Sementara itu, Norshida berjanji pihaknya akan melakukan lawatan berkala di rumah warga emas tersebut dan berharap kerja-kerja sukarela ini mampu memberikan keselesaan kepadanya.

“Selain membersihkan perse­kitaran rumah pakcik Isa, kami turut mengemas di dalam rumah untuk memberi keselesaan dan menjaga kesihatannya.

“Pihak APM Segamat turut membantu memotong rambut dan memandikan pakcik Isa kerana keadaannya sebelum ini tidak terurus dan turut memberikan pakaian baharu dan bantuan makanan,” katanya.