Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana generasi muda perlu memainkan peranan pen­ting untuk memastikan warisan dan adat kaum berkenaan dapat dijaga sampai bila-bila.

“Kena perbanyakkan program untuk generasi muda dan pada masa sama adakan juga program untuk golongan wanita, misalnya anjur program masakan Bugis,” katanya semasa merasmikan Me­syuarat Agung Tahunan Persatuan Bugis Negeri Johor Cawangan Kota Tinggi/Pengerang di Wisma Felda Papan Timur, dekat sini baru-baru ini.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, negara ini mempunyai rakyat berketurunan Jawa dan Bugis, malah mereka menjadi pemimpin negara.

“Jadi, kita perlulah mempunyai rasa kebanggaan dan perlu ingatkan anak-anak agar teruskan perjuangan orang Bugis di negara ini,” katanya

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan supaya persatuan berkenaan menubuhkan koperasi atau yayasan seiring dengan perubahan landskap ekonomi termasuk di Pengerang yang bakal menjadi had minyak dan gas negara.

Beliau berkata, persatuan tersebut harus merebut peluang hasil daripada kemajuan yang berlaku dan jangan mensia-siakannya, apa­tah lagi pembangunan itu berlaku di kawasan mereka.

“Saya juga harap kejayaan yang diperoleh boleh diturunkan kepada anak-anak,” katanya yang turut meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada persatuan tersebut bagi menjalankan aktiviti mereka pada tahun 2018.