Lokasinya bersebelahan jalan utama Chaah-Yong Peng, di sini memudahkan orang ramai yang berhajat merasai keseronokan memandu All Terrain Vehicle (ATV) atau kenderaan pelbagai permukaan bersama-sama keluar­ga atau rakan.

Taman itu yang mula dibuka baru-baru ini, beroperasi dari pukul 2 petang hingga 10 malam setiap Isnin hingga Khamis manakala 8.30 pagi hingga 10 malam pada setiap Sabtu dan Ahad.

Pemilik taman tersebut, Mohd. Shahsukorree Abu, 36, berkata, selain berpeluang menunggang ATV, pengunjung boleh mencuba untuk melakukan aktiviti memanah tradisional dan perkhemahan yang disediakan di situ.

“Bayaran sewaan ATV adalah RM50 sejam manakala bayaran mengikut pusingan adalah RM10 bagi empat pusingan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di taman tersebut baru-baru ini.

Menurutnya, bagi aktiviti memanah pula, bayaran yang dikenakan RM5 bagi tujuh busar dan aktiviti ini boleh dilakukan oleh semua peringkat umur termasuk kanak-kanak.

Setakat ini, dia sudah membe­lanjakan hampir RM200,000 bagi membangunkan kawasan seluas hampir 0.2 hektar miliknya itu.

Pada masa sama, beliau juga bercadang untuk membeli tanah berhampiran bagi tujuan menambah pelbagai kemudahan aktiviti sukan lasak pada masa akan datang.

“Ketika ini, kemampuan kewangan saya sangat terbatas. Namun saya bercadang meluaskan kawasan taman ini dengan menyediakan lebih banyak kemudahan sukan lasak seperti akti­viti memanjat tembok dan sukan paintball.

“Walaupun masih baru memulakan operasi dan masih banyak kemudahan yang belum dapat disiapkan sepenuhnya, sambutan orang ramai agak menggalakkan termasuk dari luar,” katanya.

Minat anak-anaknya melakukan aktiviti lasak mencetuskan ideanya untuk mengusahakan taman tersebut. Tujuannya memberi peluang kepada anak-anaknya dan orang ramai merasai sendiri pe­ngalaman menyeronokkan itu sambil menjana pendapatan.

Sebelum mengusahakan taman tersebut, dia terpaksa membawa keluarganya ke Gambang, Kuantan dan Selangor untuk melakukan aktiviti sukan lasak tersebut.

“Ekoran itu saya mula terfikir mengusahakan taman sendiri yang mampu memberi pendapatan berbanding hanya mengeluarkan belanja untuk melakukan aktiviti lasak sebelum ini.

“Selepas membuat sedikit kajian selain melihat potensi besar aktiviti lasak yang semakin diminati ketika ini, saya nekad memulakan usaha menjadikan tanah yang terbiar sebelum ini sebagai taman aktiviti lasak,” ujarnya.

Apatah lagi kata Mohd. Shahsukorree, masih tidak terdapat taman seumpama itu di daerah ini yang menyediakan kemudahan sukan lasak.