Yang Dipertua Majlis Daerah Segamat (MDS), Miswan Yunos berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan pihaknya dalam membangunkan kawasan tersebut sebagai daya tarikan baharu untuk destinasi pelancongan.

“Satu usaha adalah mewujudkan Rakan Eko Pelancongan iaitu satu badan bebas yang dilantik oleh MDS bagi membantu kita memelihara produk eko pelancongan yang terdapat di daerah ini.

“Selain itu, Rakan Eko Pelancongan ini akan menggerakkan usaha-usaha menjaga, memulihara dan melindungi produk-pro­duk eko pelancongan untuk kebajikan semua pihak sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Gerak Kerja Eko Pelancongan dan Program Gerak Mesra Zon Jementah di Air Terjun Jeram Tinggi di sini semalam.

Menurutnya, Rakan Eko Pelancongan juga tidak dibenarkan mengutip atau mengenakan ba­ya­ran kepada orang awam yang menggunakan taman rekreasi atau sesuatu produk pelancongan.

“Ini kerana, wakaf, tandas, pa­pan tanda, tong sampah dan kemudahan lain yang disediakan oleh pihak kerajaan di kawasan tarikan pelancongan adalah untuk kemudahan rakyat melakukan aktiviti rekreasi dan riadah secara percuma.

“Sekiranya memerlukan kewangan untuk melakukan aktiviti, mereka perlu melalui MDS untuk mendapatkan sumbangan awam sama ada daripada individu, swasta dan korporat,” katanya.

Menurut Miswan, Rakan Eko Pelancongan juga boleh melaksanakan usaha-usaha sama ada melalui aktiviti atau kempen bagi me­nganjurkan program rekreasi dan riadah bertujuan menyemarakkan lagi fungsi sesuatu produk pelancongan.

Katanya, selain itu, usaha itu juga akan membantu PBT me­ngurus dan menyelenggara produk pelancongan melalui aktiviti seperti gotong-royong secara berkala sekali gus membantu aspek keselamatan dan kesejahteraan seperti pencerobohan dan vandalisme.

“Secara ringkasnya, Rakan Eko Pelancongan akan bertindak sebagai rakan dan mata serta telinga PBT dalam pengurusan produk-produk pelancongan supaya sentiasa terurus,” ujarnya.