Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, wang tersebut dapat membantu ibu bapa me­rancang untuk membeli buku atau pakaian anak-anak mereka.

“Selain itu, saya juga menca­dangkan agar program Back To School yang dianjurkan oleh ba­nyak pihak setiap kali menjelang bermulanya sesi baharu agar meng­hulurkan bantuan secara wang tunai berbanding peralatan sekolah seperti pakaian dan alat tulis.

“Pemberian dalam bentuk wang tunai akan memudahkan ibu bapa merancang untuk membeli keperluan anak-anak mereka mengikut kesesuaian mereka me­mandangkan persiapan untuk sesi baharu persekolahan tidak terhad dengan pakaian seragam semata-mata,” katanya selepas me­nyampaikan wang KWAMP dan duit saku sumbangan UMNO Bahagian Labis sempena program Back To School UMNO Bahagian Labis di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Air Panas dekat sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Biro Pendidikan UMNO Bahagian Labis, Ismail Abu Bakar; Guru Besar SK Pekan Air Panas, Zanariah Md. Apin dan Ketua UMNO Cawangan Pekan Air Panas, Ismail Hitam.

Pada program tersebut, seramai 130 murid daripada keluarga berpendapatan rendah dari 13 buah sekolah rendah yang terdapat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dan Bekok menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM13,000.

Beliau meminta supaya pemilihan penerima bantuan itu pada masa akan datang dilakukan de­ngan lebih teliti kerana terdapat keluarga yang mempunyai ramai anak yang bersekolah memerlukan bantuan berkenaan, namun hanya seorang sahaja yang terpilih sebagai penerima.

“Tidak salah rasanya bantuan tersebut diberikan kepada lebih daripada seorang anak jika keluarga tersebut benar-benar memerlukan bantuan bagi membolehkan mereka hadir ke sekolah dengan selesa seperti rakan-rakan lain.

“Saya harap pemimpin ma­syarakat di peringkat akar umbi serta pihak pentadbiran sekolah yang sering diberi tanggungjawab untuk menyenaraikan nama pe­nerima bantuan seperti ini akan lebih peka dan teliti dengan ke­perluan masyarakat di kawasan mereka pada masa akan datang,” katanya.