Ketua Puteri UMNO Bahagian Ledang, Senator Datuk Fahariyah Md. Nordin berkata, adat yang sering dilakukan masyarakat Melayu ketika meraikan bayi yang baru lahir dilihat dapat menyemai semangat kerjasama dalam sesebuah komuniti.

“Adat dan tradisi budaya Melayu ini adalah identiti sesuatu kaum yang perlu dikekalkan, malah majlis berendoi ini disulami dengan acara sunnah seperti bertahnik, berzanji dan berselawat.

“Walaupun ia diadaptasi dari budaya negeri lain, tetapi yang penting budaya itu merupakan adat Melayu yang dapat memupuk semangat kerjasama dan mengeratkan hubungan silaturahim,” katanya ketika merasmikan Majlis Berendoi anjuran Kemas Tangkak bersama JKKK Kampung Parit Haji Idris, baru-baru ini.

Fahariyah yang juga Ahli Dewan Negara berkata, pelaksanaan majlis berendoi yang diadakan secara beramai-ramai oleh golongan ibu bapa muda memeriahkan lagi program itu yang diraikan bersama generasi terdahulu.

“Tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak-anak untuk menjadikan mereka insan yang mulia merupakan amanah yang perlu dipikul bagi melahirkan sebuah keluarga yang harmoni.

“Kini, tanggungjawab menjaga dan memantau anak-anak turut menjadi sebahagian daripada peranan masyarakat secara bersama bagi memastikan anak-anak tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak bermoral,” ujarnya.

Sementara itu, bagi pasangan Muhammad Fitri Shuhati, 31, dan Najiah Puniran, 28, program berendoi itu amat bermakna bagi anak pertama mereka, Muhammad Lutfi Hadi yang berusia tiga bulan bersama-sama 10 bayi lain.

Muhammad Fitri berkata, program itu wajar dipuji, selain dapat menghidupkan semula budaya tradisi masyarakat Melayu bagi melahirkan semangat kerjasama antara satu sama lain.

“Berikutan kekangan masa, kami tidak dapat mengadakan program berendoi di rumah, jadi program ini sangat bagus terutama bagi ibu bapa muda seperti kami yang sememangnya kurang arif dengan adat Melayu yang dilakukan masya­­rakat terda­hulu,” kata­nya.