Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Razali Wagiman berkata, biarpun kegiatan sindiket itu tidak dijalankan secara terang-terangan seperti yang berlaku di kawasan Lembah Klang namun sedikit sebanyak menjejaskan tugas-tugas penguatkuasaan dijalankan.

“Pengusaha lori di negeri ini yang tidak mematuhi peraturan jalan raya ini masih lagi menggunakan khidmat tonto walaupun ia tidak dilakukan secara terang-terangan.

“Bagaimanapun kita dapat mengesan tindak-tanduk mereka dengan mengambil kira kegagalan operasi di lokasi yang sudah dikenal pasti,” katanya dalam majlis sambutan Aidilfitri 2018 di Dewan Serbaguna JPJ Negeri Johor di Taman Daya hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan dan Penolong Pegawai Penguatkuasa JPJ negeri, Mohd. Effendi Juri.

Razali berkata, sindiket tersebut menyalurkan maklumat kepada pengusaha lori tentang pergerakan penguatkuasa JPJ bagi memberi perlindungan kepada mereka yang melanggar peraturan jalan raya agar tidak dikenakan tindakan.

Katanya, selepas melaksanakan operasi bersempena Aidilfitri, JPJ menubuhkan Pasukan Khas Risikan JPJ negeri dalam usaha memantau kegiatan lori yang membawa muatan binaan seperti pasir dan batu secara berlebihan.

“Tindakan ini dibuat selepas beberapa kali kita mendapat aduan daripada orang awam yang bimbang soal keselamatan mereka di jalan raya disebabkan pemanduaan lori lebih muatan tersebut.

“Lori lebih muatan ini bukan sahaja boleh mengundang padah kepada pengguna jalan raya yang lain dengan memandu melebihi had laju malah menyebabkan kerosakan jalan yang ketara,” katanya.

Katanya, dalam operasi tersebut pihaknya turut mengeluarkan notis siasatan dan saman terhadap kenderaan berat lebih muatan mengikut Kaedah 89 Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara.