Ketua Satu PPJ, Amiruddin Md. Ali Hanafiah berkata, PPJ yakin atas kewibawaan beliau dalam menerajui institusi bahasa dan persuratan itu dengan cemerlang.

“Pengalaman beliau yang luas dalam DBP merupakan aset penting dalam menjadikan DBP sebuah organisasi yang berjaya, disegani dan dihormati.

“Sebagai pemimpin yang berada dalam institusi bahasa dan persuratan lebih 35 tahun tentulah beliau amat arif dan faham tentang situasi DBP sejak mula ditubuhkan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

DBP sebelum ini mengiklankan kekosongan jawatan Ketua Pengarah berikutan penamatan kontrak Datuk Abdul Adzis Abas bermula 1 Disember tahun lalu.

Penamatan kontrak itu dibuat tiga bulan lebih awal daripada kontrak asal yang sepatutnya tamat pada Februari depan dan Abang Salehuddin adalah Ketua Pengarah DBP ke-12.

Katanya, pelantikan beliau tentu mengambil kira pelbagai kriteria dan kelebihannya berbanding calon lain kerana pemilihan Ketua Pengarah DBP kali ini melalui proses saringan awal dan temu duga.

Beliau berharap bagi calon lain yang tidak berjaya menduduki kerusi tersebut akan terus menyumbang idea demi pembangunan bahasa dan sastera tanah air.

“PPJ berharap agar Datuk akan terus melakukan kegiatan turun padang dan menjalin hubungan dengan pelbagai kegiatan dalam gerakan bahasa sebagaimana yang beliau lakukan semasa menjawat Timbalan Ketua Pengarah sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, rakan kongsi DBP dengan persatuan penulis seperti Gabungan Penulis Nasional (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) perlu diteruskan malah dengan lebih akrab lagi selepas ini. - UTUSAN ONLINE