Walaupun bukan mewakili suara ahli-ahli Bersatu, namun beliau menegaskan Osman adalah calon terbaik dari selatan yang telah dipilih oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membela rakyat Johor di samping meneruskan pembangunan di negeri tersebut.

“Janganlah disebabkan sedikit isu yang timbul, maka segala kebaikan beliau selama ini dilupakan. Beliau juga sudah membuat kenyataan memohon maaf, jadi bukankah itu sifat terpuji dan ikhlas dalam memberi jawapan kepada persoalan selama ini? Jadi kenapa perlu diperbesarkan?

“Hari ini terdapat banyak kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab dari pihak tertentu yang berusaha untuk menjatuhkan beliau sebagai Menteri Besar. Saya akui sebagai kerajaan baru, Pakatan Harapan amat terdedah dengan serangan dan propaganda dari pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk menggagalkan usaha kerajaan baru ini membuktikan keupayaan mereka khususnya di negeri johor,” katanya.

Menurutnya, sepanjang memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar, prestasi Osman sangat cemerlang dalam membawa negeri johor ke arah negeri beprestasi tinggi 2019 – 2030 dan berjaya melaksanakan Manifesto Pakatan Harapan Negeri Johor dalam masa 100 hari.

Beliau menambah, mandat rakyat lebih penting dari melayan segala tomahan yang tidak berasas dan rakyat seharusnya perlu memandang terus ke hadapan dengan memberikan ruang serta sokongan seluas-luasnya kepada beliau untuk mengemudi parti ini ke tahap yang lebih baik.

“BERSATU tetap membela, mempertahankan serta menjamin masa depan orang Melayu dan bangsa lain. Kita memilih kejujuran dan keikhlasan dalam perjuangan untuk agama, bangsa serta negara dan bukannya memilih jalan curang dengan bersekongkol dengan musuh untuk menjatuhkan pemimpin.

“Kesetiaan kepada parti, ketelusan dalam perjuangan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan tidak boleh dipisahkan dalam apa keadaan sekalipun. Kita tidak mempunyai banyak masa untuk berdepan dengan pelbagai masalah yang mampu diselesaikan. Tumpuan dan fokus kita hari ini adalah untuk pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat dan masa depan generasi akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Uzzair menyeru pihak yang tidak bertanggungjawab dan tersilap langkah dalam membelakangi peraturan dan disiplin parti ketika ini agar kembali ke landasan dan meneruskan sokongan kepada Osman untuk menerajui dan menjadi tulang belakang kepada pengerusi Pakatan Harapan dan Bersatu Negeri Johor. – UTUSAN ONLINE