Mereka mendakwa, walaupun rumah tersebut telah siap sepenuhnya, namun pemaju masih belum menyerahkannya menyebabkan mereka terpaksa menanggung beban kewangan pinjaman bank dan bayaran rumah sewa setiap bulan.

Setiausaha jawantankuasa ber­tindak bagi pembeli rumah itu, Mohd. Zamri Musbah, 42, berkata, mereka sudah bosan dan tidak mampu lagi untuk menunggu kerana ingin segera menduduki rumah masing-masing dan sudah lama terbeban kerana membuat bayaran pinjaman perumahan serta pada masa yang sama membayar sewa rumah lain.

Menurutnya, rumah tersebut dibeli pada tahun 2010 dengan harga RM142,800 seunit bagi lot bumiputera dan RM168,000 kepada pembeli bukan bumiputera, namun berlaku pertukaran pelan.

“Ini menyebabkan rumah yang sepatutnya siap pada 2012 telah lewat dan hingga kini kami belum dapat memiliki rumah yang diidam­kan.

“Misalnya, saya bukan sahaja perlu membayar pinjaman rumah kepada pihak bank sebanyak RM700 sebulan, malah turut perlu menjelaskan sewa bulanan rumah yang diduduki sekarangan seba­nyak RM400 sebulan,” katanya selepas menyerahkan surat aduan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong, kelmarin.

Seorang guru, Goh Wei Kian, 38, turut kecewa kerana perancangan untuk berpindah selepas berkahwin masih tidak dapat dilakukan dan kini masih menumpang di rumah ibu bapanya.

“Saya perlu membayar seba­nyak RM750 sebulan kepada pihak bank, namun hingga kini masih tidak dapat mendiami rumah yang dibeli,” katanya.

Sementara itu, Siew Kiong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelan­congan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri berjanji akan mengadakan perbincangan dengan pemaju dan Majlis Daerah Pontian (MDP) bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah berkenaan.

“Saya memahami kekecewaan dan tekanan pembeli yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak bagi membeli rumah dan pada masa yang sama masih tinggal menyewa atau menum­pang di rumah keluarga,” katanya.