Bimbang bunyi tembakan itu terngiang-ngiang di gegendang telinga. Seorang demi seorang mengambil tempat dan membidik sasaran sebelum melepaskan tembakan masing-masing.

Mereka merupakan 140 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah dan kakitangan Syarikat Air Johor Holdings Sdn. Bhd. (SAJH) yang mengikuti latihan menembak.

Gelagat para peserta dapat dilihat dalam majlis penutupan Latihan Menembak Kem Tahunan Siri 6/2016 Rejimen Pakar Pengendalian Air Ke-60 itu dari pukul 8.30 pagi hingga 4 petang.

Mereka menembak sasaran 200 meter bagi kategori individu (RAJD Askar Wataniah) disusuli menembak sasaran berkumpulan dan sasaran jatuhan piring berkumpulan tentera dan jemputan (SAJH).

Menurut Penolong Pegawai Memerintah 60 RAJD Askar Wataniah, Mejar Mazlan Mohd. Zin, itu merupakan sebahagian latihan rejimental, termasuk latihan kawad, menembak dan beberapa taktik asas.

Katanya, latihan berkenaan berlangsung selama tiga hari.

“Hari pertama dan kedua melibatkan anggota sukarela bagi memahirkan pengendalian senjata kecil untuk menembak dan hari ketiga iaitu penutupan melibatkan jemputan kakitangan SAJH.

“Tujuan kami melibatkan jemputan dalam kalangan SAJH untuk memberi pendedahan tugas dan peranan rejimen ini selain mempromosi dan menarik minat mereka untuk menyertai RAJD Askar Wataniah.

“Ini bersesuaian dengan saranan kerajaan yang mahu lebih ramai lagi Askar Wataniah dalam rejimen ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas latihan itu baru-baru ini.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar SAJH, Mohd. Ghazali Ibrahim pula bersyukur kerana objektif program tersebut tercapai dan peluang berkenaan dimanfaatkan sebaiknya.

Kata beliau, pihaknya merancang untuk menjadikan aktiviti tersebut sebagai program tahunan bagi memahirkan diri dalam penggunaan senjata.

“Saya juga menyeru kepada semua pegawai dan kakitangan SAJH khususnya golongan muda bagi menyertai RAJD Askar Wataniah kerana banyak kemudahan dan kebaikan dalam rejimen ini,” katanya.

Pegawai Eksekutif Jabatan Kontrak dan Perolehan SAJH Johor Bahru, Shazrin Salim, pula teruja dapat menyertai latihan itu kerana pernah bercita-cita menjadi polis kerana ayahnya merupakan seorang anggota polis.

Namun pengalaman pertama memegang senjata M16 buat pertama kali agak mendebarkan dirinya.

“Walaupun kebanyakan bidikan tidak mengena sasaran namun saya berasa serononok dapat mempelajari sesuatu yang baharu,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Rakanya yang bertugas di SAJH Kluang, Mohamad Shafiq Zolcaffli, 28, berkata, latihan menembak itu merupakan pengalaman ketiga buat dirinya.

“Kali terakhir saya diberi peluang ialah ketika menjadi anggota kadet semasa di zaman sekolah 10 tahun lalu. Sungguh seronok dapat memegang senjata teringat kenangan semasa sekolah dulu,” katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Keseronokkan juga jelas kelihatan di wajah mulus seorang siswazah Politenik Merlimau, Melaka, Norashikin Sahak, 21, yang turut diberi peluang mengikuti latihan tersebut.

“Ini kali pertama saya menem­bak menggunakan M16, sungguh teruja walaupun sebelum ini pera­saan takut dan berdebar-debar menghantui fikiran.

“Latihan ini menjadikan saya seorang yang lebih berani dan bersemangat,” kata anak kedua daripada empat beradik dari Parit Raja, Batu Pahat itu.

Bagi penuntut Diploma Tekno­logi Mekanikal Univeri­ti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Muhaimin Yahya, 20, dia merasa bertuah kerana dipilih dan diberi peluang mempelajari cara penggunaan senjata M16.

“Ini adalah pengalaman pertama saya. Ini sangat mencabar dan memberi kepuasan apabila tembakan saya mengenai sasaran,” katanya yang baru tiga ming­gu menjalani latihan praktikal di SAJH Sri Gading, Batu Pahat.