Datuk Bandar Johor Bahru, Amran A. Rahman berkata, program iTrafik MBJB mendapat kerjasama anak syarikat Telekom Malaysia (TM) menelan belanja kira-kira RM3.6 juta turut membolehkan orang ramai melihat secara langsung keadaan lalu lintas menerusi laman sesawang MBJB.

Katanya, buat masa ini seba­nyak 36 CCTV sudah dipasang sejak Julai lalu manakala lagi 44 unit akan mula dipasang pada bulan depan bagi meluaskan liputan pe­ngawasan di hampir keseluruhan laluan utama di bandar raya ini.

“Program iTrafik MBJB menggunakan kamera berdefinisi tinggi yang boleh laras dan berpusing merupakan langkah penambahbaikan menggantikan sistem la­ma bukan sahaja memantau aliran trafik malah sebagai medium membantu anggota keselamatan menjalankan tugas pengawasan.

“Menerusi program ini, kita melantik anak syarikat TM untuk kerja-kerja penyelenggaraan kelengkapan yang disewa daripada mereka selama lima tahun dengan bayaran RM1,585 sebulan bagi setiap unit kamera tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program iTrafik MBJB di sini hari ini.

Amran berkata, sebanyak 44 unit CCTV akan ditambah pada bulan depan bagi fasa kedua pelaksaan program iTrafik MBJB dibiayai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Luar (KPKT).

Katanya, kamera yang beroperasi selama 24 jam itu turut dilengkapi dengan alat pembesar suara untuk memberi sebarang amaran kepada pengguna di jalan tersebut sekiranya mela­kukan kesalahan trafik.

“Pelaksanaan program ini diharap dapat meningkat kesedaran umum di jalan raya agar lebih cermat dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas selain dijadikan rujukan untuk merancang perjalanan dan menge­lakkan ke­sesakan jalan raya,” katanya.