Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut bagi membantu pemaju hartanah berkenaan yang terpaksa mengalami kerugian.

"Hartanah ini meliputi pelbagai jenis seperti rumah, kedai, kilang dan sebagainya. Kita akan tengok daripada satu kes ke satu kes," katanya mengulas mengenai masalah itu berikutan hartanah tersebut kurang mendapat sambutan khususnya di daerah ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kepada Pemilik Taman Perbadanan Islam (TPI) Datin Halimah dan Majlis Cabutan Undi Bagi Pakej A TPI Stulang Laut di Jalan Kempas, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan negeri, Datuk Md. Jais Sarday; Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Datuk Bandar Johor Bahru, A. Rahim Nin.

Unit hartanah berstatuskan bumiputera itu tidak berjaya dijual sebelum ini kerana harganya dikatakan terlalu mahal sekali gus menyebabkan hartanah tersebut tidak mampu laku.

Kerajaan negeri dalam dasar perumahannya menetapkan, setiap pemaju perlu memperuntukkan sejumlah unit daripada keseluruhan hartanah yang dibangunkan kepada bumiputera. - UTUSAN ONLINE