Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Dr. S. Ramakrishnan berkata, malah ada dalam kalangan mereka kini menetap di kawasan kampung selain sudah mempunyai keluarga dan anak berusia 30 tahun.

Beliau berkata, berdasarkan mak­lumat diperoleh daripada mereka yang berada dalam industri, bagi purata seorang pekerja asing di negara ini terdapat kira-kira tiga rakyat asing bekerja secara haram.

“Mereka sudah berada di negara kita bertahun lamanya, ada dalam kalangan mereka melahirkan anak di sini dan ada anak mereka kini sudah berusia 30 tahun. Ini menunjukkan masalah tersebut sudah berlanjutan terlalu lama.

“Bagi mendapatkan maklumat sebenar mengenai mereka, kerajaan negeri menerusi Unit Swadaya merancang untuk mengumpul data mereka terbabit,” katanya selepas merasmikan Persidangan Sumber Manusia Iskandar Malaysia 2018, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Pembangunan Sosial Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Suhaily Abdul Hamid.

Ramakrishnan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok berkata, pada masa ini, terdapat dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berminat untuk menawarkan perkhidmatan mereka dalam mengumpul data-data berkaitan kepada kerajaan negeri secara percuma.

Menurutnya, tiada jumlah sebenar mengenai rakyat asing tersebut kerana beberapa pihak memberikan anggaran yang berlainan se­perti Kementerian Sumber Manusia menganggarkan seramai 850,000 berada di negeri ini, manakala Kong­res Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) memberi jumlah yang berbeza.

“Atas sebab itu, kerajaan negeri mahu menjalankan kajian itu termasuk meminta kerjasama ketua kampung,” katanya.