Rektor UiTM Johor, Prof. Ma­dya Dr. Azizan Abdullah berkata, program Kayuhan Suksis 60 Merdeka itu singgah di lima daerah iaitu Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Iskandar Puteri sebelum menamatkan kayuhan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Selain itu, program ini adalah salah satu inisiatif Suksis UiTM dalam menyemarakkan lagi sam­butan Bulan Kemerdekaan negara di samping meraikan genap lima tahun penubuhan Suksis UiTM Kampus Cawangan Segamat.

“Kayuhan 60 Merdeka ini juga adalah salah satu daripada akti­viti kemasyarakatan yang melibatkan Suksis menerusi kerjasama pihak polis dalam usa­ha mendekatkan diri dengan masyarakat selain dapat memberi maklumat terkini tentang kemerdekaan negara,” katanya.

Lebih bermakna, ketibaan para peserta di IPK Johor disambut oleh Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd.

Mengulas lanjut Azizan berkata, semua peserta berjaya menamatkan kayuhan tanpa sebarang kemalangan atau kecederaan.

“Sepanjang program ini, kami turut singgah di beberapa buah sekolah dan sempat menyampaikan maklumat terkini mengenai pembelajaran di universiti terutamanya di UiTM Johor,” katanya.