Menyedari tuntutan dan tanggungjawab itu, Jabatan Perkhid­matan Veterinar (JPV) Daerah Tangkak menganjurkan Kursus Amalan Baik Penyembelihan Ternakan 2018 kepada 61 penternak di Balai Raya Kampung Sagil Parit 1, di sini baru-baru ini.

Kursus berkenaan adalah satu usaha memberi kefahaman kepada pengusaha yang terlibat secara langsung dalam aktiviti penyembelihan ternakan.

Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Tangkak, Mohd. Nazri Omar berkata, kursus sehari itu juga untuk memberi keseda­ran bagi mengamalkan kaedah penyembelihan ternakan.

Katanya, peserta yang terdiri daripada kalangan umat Islam diberikan tunjuk ajar dan kaedah penyembelihan mengikut lunas yang dituntut agama secara teori dan amali.

“Peserta mengikuti ceramah Amalan Penyembelihan Baik di­­sam­paikan Pegawai Perkhidmatan Veterinar Johor, Zamari Mohd. Amin manakala Ustaz Said Abd. Kadir Said Mohamad dari Pejabat Agama Daerah Tangkak menyampaikan ceramah Kaedah Penyembelihan Mengikut Hukum Syarak.

“Skop kursus ini memberi fokus kepada perundangan jabatan, kebajikan haiwan, pematuhan kepada hukum syarak dan penerapan amalan penyembelihan baik untuk memastikan produk yang diperolehi suci dan halal serta selamat dimakan,” katanya berucap merasmikan kursus itu.

Mohd. Nazri berkata, peserta yang terdiri daripada penternak ruminan dan fidlot, peraih ternakan dan peserta rumah sembelih jabatan dan swasta turut mengikuti amali penyembelihan ternakan dikendalikan Pemeriksa Vete­rinar JPV Johor, Sukeri [email protected] di Rumah Pe­nyembelihan Mohd. Janis Sdn. Bhd. di Kampung Parit Kassan.

Beliau berharap peserta kursus dapat manfaat untuk diamalkan di premis mereka dan memastikan agar aktiviti penyembelihan ternakan dijalankan dengan lebih teratur, bersih dan mengambil kira kebajikan haiwan dan kese­lamatan makanan.