Jurulatih kumpulan Kompang Gema Muafakat Segamat, Johari Marsan berkata, lebih manis pa­luan kompang tersebut berjaya menarik perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta tetamu lain.

“Sebenarnya penglibatan kami pada awalnya tidak dirancang sehinggalah tiga minggu terakhir selepas diminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat untuk bermain kompang dalam majlis tersebut.

“Pada mulanya beliau meminta saya mengumpul 1,000 pemain kompang untuk mela­yakkannya dicatat dalam Malaysia Book Of Record (MBOR), namun saya mampu mengumpul seramai 600 pemain kompang sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dalam tempoh singkat Johari hanya berjaya mengumpul 29 ke­tua kumpulan kompang di daerah ini sebelum memberi mereka lagu untuk latihan secara berasingan.

Dia hanya bertemu dengan ketua kumpulan kompang tersebut sebanyak tiga kali untuk mengadakan perbincangan sebelum majlis perasmian.

Johari mengakui bukan mudah untuk mengumpulkan sebegitu ramai pemain kompang dan cabaran paling besar dihadapinya adalah untuk menyeragamkan paluan ketika persembahan.

Namun dia bersyukur masalah tersebut dapat diatasi berkat kerjasama serta komitmen tinggi oleh semua yang terlibat dan berjaya memainkan dua lagu dalam majlis tersebut.

Dia juga menyifatkan usaha tersebut sebagai cara untuk me­ngangkat serta memartabatkan seni budaya Melayu yang perlu diteruskan pada masa akan datang.

“Ini merupakan kali pertama ramai pemain kompang bergabung di bawah satu bumbung sekali gus me­nyemai semangat muafakat dalam kalangan mereka.

“Kami semua gembira kerana berpeluang terlibat secara langsung dalam majlis bersejarah ini,” katanya.