Kesemua penerima yang meru­pakan murid darjah satu dari 12 buah sekolah di daerah ini mendapat bantuan kelengkapan sekolah bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa mereka.

Majlis penyerahan diadakan sempena program Back To School Parlimen Tenggara di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mawai di sini.

Program dengan kerjasama SWCorp, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) dan UEM Group itu melibatkan penerima daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 1, SK Batu 2, SK Petri Jaya, SK Taman Seri Saujana, SK Bandar dan SK Taman Kota Jaya.

Turut menerima murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Hwa, SJKC Yu Hwa, SJKC Mawai, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Pelepah, SJKT Ladang Rem dan SJKT Tajul.

Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique ketika ditemui berkata, murid terbabit menerima sumbangan beg sekolah, dua uniform, kasut dan stokin.

“Ini adalah tanggungjawab so­sial korporat (CSR) SWCorp kepada rakyat dalam Parlimen Tenggara. Kita ucap terima kasih kepada SWCorp kerana memberikan bantuan ini.

“Diharapkan bantuan ini dapat membantu ibu bapa menambah kelengkapan anak-anak. Ibu bapa membelanjakan kira-kira RM300 untuk persiapan persekolahan seorang anak,” katanya.

Halimah berkata, kos tersebut melibatkan anak di sekolah rendah dan juga sekolah agama manakala pelajar bukan Melayu membelanjakan RM200 bagi persiapan sekolah seorang anak.

Beliau juga berharap melalui bantuan RM100 diberikan kerajaan yang akan disalurkan dapat membantu pelajar membeli ke­perluan kokurikulum dan sebagainya.

“Semoga tahun baru ini akan jadi tahun lebih baik untuk ibu bapa dalam menjadikan kehidupan sejahtera bersama-sama ke­luarga di samping bantuan-bantuan diberikan kerajaan,” katanya.