Dekan FBME, Prof. Dr. Jasmy Yunus berkata, penerima sijil berkenaan masing-masing terdiri daripada 28 dan 26 penuntut tahun dua dan tiga yang mengikuti program Pengurusan Equin di fakulti tersebut.

Menurutnya, sijil pentauliahan itu merupakan satu nilai tambah bagi mahasiswa yang mengikuti program berkenaan kerana diikti­raf bukan sahaja di negara ini, malah seluruh dunia.

“Program Pengurusan Equin yang diperkenal pada tahun 2014 dan pada waktu ini UTM merupakan satu-satunya universiti tempatan yang menawarkannya.

“Kerjasama dengan RDA Malaysia ini merupakan satu pengiktirafan bukan sahaja bagi pihak fakulti dan UTM, malah juga bagi penerima sijil untuk membantu mereka mengembangkan karier dalam bidang berkenaan,” kata­nya selepas menyampaikan sijil tersebut di Dewan Kuliah 1 FBME, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi RDA Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Sementara itu, Abdul Aziz memberitahu, aktiviti berkuda merupakan salah satu bentuk te­rapi yang dapat membantu menaikkan semangat dan ikhtiar hidup seseorang termasuk orang kurang upaya (OKU).

“Aktiviti ini mampu merangsang aspek fizikal, mental dan spiritual individu OKU, sekali gus meningkatkan keupayaan kendiri mereka,” katanya.