Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 45 lelaki dan enam wanita berusia antara 16 hingga 48 tahun.

“Keutamaan Op Dadu Khas ini adalah menjalankan operasi ke atas individu dan sindiket yang menganjurkan kegiatan perjudian loteri awam tanpa lesen.

“Kesemua yang ditahan ini mengaku menerima pertaruhan perjudian loteri awam tanpa le­sen,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Azman berkata, antara rampasan yang disyaki barang utama dalam kegiatan itu adalah 50 tele­fon bimbit pelbagai jenama, 50 pencetak, 161 keping kertas pelbagai saiz tercatat angka disyaki nombor loteri awam serta wang tunai disyaki hasil penerimaan pertaruhan berjumlah RM3,976.

Beliau memberi amaran keras kepada penganjur dan penerima pertaruhan bahawa aktiviti perjudian berkenaan akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bagi tempoh lapan bulan tahun ini, pihaknya telah menahan 1,585 individu dalam 1,528 serbuan ke atas premis dan individu yang disyaki menjalankan kegiatan itu serta merampas wang tunai sebanyak RM247,326.

Katanya, bagi tempoh sama, sebanyak 1,078 kes telah didakwa di mahkamah.