Majlis tersebut diadakan sempena Festival Hari Guru Kebangsaan 2017 anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kumpulan Utusan yang bermula hari ini hingga Selasa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim berkata, beliau menyambut baik program yang julung kali diadakan pada Festival Hari Guru Kebangsaan 2017 itu.

“Program ini secara tidak langsung memupuk minat membaca al-quran kerana bukan sahaja meraikan kejayaan anak-anak tetapi apa yang lebih penting ia memartabatkan al-Quran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Usaha penganjur yang memasukkan program khatam ke dalam program mereka harus dipuji dan Insya-Allah kerajaan negeri akan meneruskan program-program seperti ini di masa akan datang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Abd. Mutalip berkata, penguasaan ilmu pengetahuan merupakan teras kepada kejayaan negara lebih-lebih lagi pengetahuan Islam.

“Melalui program seperti ini anak-anak mampu menguasai al-quran seterusnya melahirkan generasi yang berakhlak tinggi selain berpegang teguh kepada ajaran Islam.

“Generasi seperti ini yang diperlukan untuk menjadi pemimpin, penggerak dan pemacu negara di masa akan datang,” ujarnya.

Festival Hari Guru Kebangsaan 2017 yang berlangsung selama lima hari itu disertai oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta dengan beberapa aktiviti turut diadakan antaranya pertandingan memasak, program khatam al-Quran perdana, pertandingan koir, klinik tulisan Jawi serta pembukaan 130 gerai pameran dan jualan. - UTUSAN ONLINE