Program tersebut melibatkan kos keseluruhan RM120,000 bertujuan meringankan beban kewangan golongan yang kurang berkemampuan seperti anak yatim dan fakir miskin.

Menurut Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan, pihaknya amat memahami ma­salah yang dihadapi oleh golo­ngan berkenaan, terutamanya keluarga yang mempunyai tanggungan ramai.

Beliau berkata, setiap kampung dibekalkan dengan 43 helai pakaian seragam sekolah rendah dan menengah dan perlu diagih-agihkan sebelum bermulanya sesi persekolahan baharu itu.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberikan galakan dan menaikkan semangat pelajar untuk belajar dengan baik seperti rakan-rakan mereka yang lain,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut di rumah Citra Sri Pinang, Benut, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Senator Datuk Isa Hamid; Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Shukri Mohd. Masbah; Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian, Muhamaddan Ahmad dan Pengerusi Ketua-Ketua Kampung Daerah Pontian, Buang Saadon.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, aspek pendidikan sentiasa diberi penekanan oleh pihaknya selama ini, termasuk memper­kenalkan Anugerah Sekolah Cemerlang (ASC) sejak tahun 2010 bagi mengiktiraf pencapaian sekolah-sekolah di daerah ber­kenaan.

Menurutnya, peranan dan sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) amat penting dalam proses pendidikan seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Dalam pada itu, beliau me­minta ibu bapa membuat tabungan khusus bagi membiayai persekolahan anak-anak, termasuk apabila mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.