Seorang penerima, Samsuddin Amin, 65, dari Bekok bersyu­kur kerana namanya tersenarai sebagai salah seorang penerima bantuan berkenaan.

“Saya tidak bekerja kerana mengalami gangguan mental sejak remaja dan kini tinggal bersama anak saudara di Bekok dan hanya bergantung kepada bantuan JKM sebanyak RM350 sebulan.

“Walaupun duit raya yang diterima ini tidak banyak, namun sekurang-kurangnya dapat membantu saya menyambut hari raya,” katanya selepas menerima duit raya daripada JKM yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim di Pejabat UMNO Bahagian Labis baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pegawai JKM Daerah Segamat, Rusyidatul Mat Yaakob.

Sementara itu, Noriah Idun, 60, dari Kampung Tenang pula menyifatkan sumbangan tersebut dapat meringankan beban keluarganya dan bukti bahawa kerajaan tidak pernah melupakan golongan kurang berkemampuan.

Walaupun dia berstatus orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami masalah pertuturan dan tidak boleh bekerja, namun nasibnya tidak pernah diabaikan oleh pihak bertanggungjawab.

Dia turut berharap agar sumbangan daripada pelbagai pihak kepada golongan yang memerlukan tidak dihulurkan pada musim perayaan sahaja, sebaliknya secara berterusan mengikut keperluan mereka.

Sementara itu, Mohd. Azahar yang juga Ketua UMNO Bahagian Labis mengingatkan penerima sumbangan supaya membelanjakan wang yang diterima sebaik mungkin bagi menyambut Aidilfitri.